Perihal Saya

SUNGAI PETANI, KEDAH D.A, Malaysia

Monday, November 7, 2011

TERJEMAH NOVEL UNSUR SEJARAH

Terjemah novel unsur sejarah

PERTAMA sekali saya mengucapkan tahniah kepada Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif lnstitut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd. Khair Ngadiron kerana tulisannya Sastera Malaysia Boleh Diantarabangsakan dalam Utusan Malaysia 31 Oktober 2011.
ITNM di bawah kepimpinan beliau banyak menempa sejarah dan kejayaan dalam bidang penterjemahan karya-karya sastera Melayu. Semoga ITNM lebih berjaya dalam mengantarabangsakan sastera Malaysia dalam bidang penterjemahan novel-novel Malaysia dulu dan sekarang.
Saya selaku pengamat karya sastera Malaysia ingin mencadangkan kepada ITNM agar menterjemahkan pula novel-novel berunsur sejarah karya sasterawan tempatan.
Di antaranya termasuklah novel berunsur sejarah berjudul Tengku Menteri karya Talib Samat terbitan Karisma Publications Sdn. Bhd. dan novel Bukit Kepong terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) karya lsmail Johari sejajar dengan perkembangan semasa.
Novel Tengku Menteri (2003) contohnya meninggalkan impak besar kepada negara misalnya memberi ilham kepada pelbagai pihak pada tahun 2003 hingga 2006 untuk membawa pulang jenazah (remain) pejuang kemerdekaan terawal dan jutawan Melayu bijih timah abad ke-19 dan bapa mentuanya, Laksamana Muhammad Amin dari Singapura ke Perak pada 9 September 2006.
Memanglah novel ini agak tebal tetapi ianya cukup penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara khususnya di Perak yang perlu diketahui oleh dunia antarabangsa betapa pernah wujud pembesar Melayu yang pertama (Ngah Ibrahim) menggaji orang putih (Kapten Speedy) sebagai setiausaha peribadinya pada abad ke-19 dan pelbagai kisah lain yang penuh patriotisme.
Malah khabarnya ada penerbit drama bercadang membuat siri drama televisyen daripada novel Tengku Menteri meskipun hasrat itu belum menjadi kenyataan.
Sekiranya ada terjemahan novel itu untuk pasaran antarabangsa tentunya kisah itu diketahui di dunia antarabangsa di samping melihat dramanya di televisyen apabila tiba masanya nanti yang tentu akan melariskan jualan buku terjemahan itu dan novel asalnya.
ITNM wajar memberi perhatian terhadap novel ini di samping novel karya Sasterawan Negara atau pengarang lain yang sudah ada dalam senarai ITNM. Rasanya tidak rugi ITNM menterjemahkan novel ini di samping mempopularkan semula ketokohan korporat Melayu abad ke-19 iaitu Long Jaafar (bapa) dan Ngah Ibrahim (anak) ke dunia antarabangsa tetapi juga memaparkan kehebatan pejuang Melayu yang buktinya masih wujud di Muzium Matang, Taiping, Perak.

No comments:

Post a Comment