Perihal Saya

SUNGAI PETANI, KEDAH D.A, Malaysia

Tuesday, October 11, 2011

Novel Penjana Penghayatan Nilai Murni

Pengirim : Jurina Bt Simon <sugar_laws@yahoo.co.uk> 

Memulakan mukadimah ayat pertama saya sudah semestinya "Saya adalah peminat Novel-Novel Alaf21" sejak lebih 6 tahun lalu.

Saya mempunyai banyak koleksi novel terbitan Alaf21. 4 buah kotak penuh saya simpan di dalam bilik saya. Bukan tidak ada rak buku di ruang tamu rumah tetapi saya merasakan keselamatan buku-buku saya lebih terjamin jika disimpan dalam kotak. Tidaklah sesuka hati kawan-kawan meminjam dan membawa balik. Takut nanti dipinjam dibawa pulang tidak dikembalikan. Jika ada kawan yang mahu meminjam saya minta mereka pilih sendiri novel dari dalam kotak novel koleksi saya. November lepas saya minta bakal tunang saya menyediakan 3 buah novel terbitan Alaf21 sebagai sebahagian daripada hantaran pertunangan kami. Begitu sayang saya dengan koleksi novel-novel Alaf21.

Sejak 2 tahun lepas tuntutan kerja memerlukan saya sentiasa ditemani komputer peribadi untuk mengakses maklumat. Dalam kesibukan itu saya tidak lupa untuk singgah di laman web Alaf21 untuk mengetahui aktiviti-aktiviti terbaru penerbit majalah dan novel paling popular di Malaysia ini.

Masih ada dalam kalangan kawan-kawan yang berasa hairan kenapa saya suka membaca novel berbahasa Malaysia. Bagi mereka novel-novel Melayu tidak menarik. Cerita yang sama sering dijadikan tema iaitu Cinta. Sungguhpun ada segelintir penulis novel Alaf 21 yang berjaya menghasilkan novel thriller dan berbentuk sejarah. Novel terbaru yang saya baca iaitu ‘Astana Kasih’. Novel ini menyingkap sejarah negeri di tanah Melayu yang jatuh di tangan Komunis di era tahun 1950-an. Tunjang utama dalam cerita ini adalah sifat amanah anak jati Melayu yang akhirnya telah menyatukan ahli keluarga yang terpisah lebih 30 tahun. Amanah adalah satu nilai murni yang harus ada dan dipraktikkan setiap insan.

Saya amat kagum dengan watak utama novel ini sebab saya sendiri mungkin tidak "seamanah" watak Pak Murad yang boleh menyimpan amanah sehingga 30 tahun lamanya. Satu pengajaran yang amat berharga saya temui dalam novel Astana Kasih.

"Apakah Novel Yang Boleh Membentuk Minda" jawapannya boleh kita akses di laman web Alaf21. Oleh yang demikian bagi saya tidak timbul "Kesan Internet Terhadap Tabiat Membaca" kerana membaca dan menghayati adalah perlu dalam pembacaan novel khususnya sejarah. Ia lebih mudah difahami dan dihayati melalui pembacaan novel serta lebih berkesan menyerap ke dalam sanubari kerana membaca sesuatu karya seperti novel bukan untuk mempelajari tetapi untuk menghayati.

Penerbit rompak royalti penulis

ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 18/09/2011

PENERBIT yang mendapat kontrak dengan Kementerian Pelajaran untuk menerbitkan buku teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) ibarat terjatuh dalam lubuk emas. Buku teks Komsas tidak memerlukan promosi dan kerja pemasaran kerana pembelinya sudah tersedia. Maka kalangan penerbit buku, mereka bersaing sesama sendiri untuk mendapat kepercayaan Kementerian Pelajaran.
Untuk mendapat lubuk emas ini bukan mudah. Khabarnya setiap buku teks Komsas yang akan diterbitkan perlu mendapat kelulusan sebuah jawatankuasa pemilih di kementerian. Maknanya ini memberikan satu gambaran bahawa syarikat penerbitan yang mendapat kepercayaan adalah yang mempunyai rekod pencapaian yang cemerlang.
Ini juga memberitahu kita bahawa syarikat penerbitan yang dipilih bukanlah syarikat yang bertaraf "mi segera" atau "syarikat RM2" yang boleh ditubuh atau ditutup bila-bila masa. Perihal syarikat adalah penting kerana penerbitan buku teks Komsas melibatkan wang yang banyak termasuk pengagihan royalti kepada penulis.
Kalangan penulis pula apabila karya-karya mereka sama ada cerpen atau puisi yang dimasukkan dalam buku teks Komsas, pada dasarnya mereka juga terjun dalam lubuk emas. Ini kerana penerbitan buku teks Komsas melebihi 100,000 naskhah setahun untuk negeri-negeri tertentu. Penulis boleh jadi orang kaya baru kalau karya mereka diterbitkan sebagai teks Komsas.
Tetapi bukan semua penerbit teks Komsas jujur dan membayar royalti kepada penulis mengikut kadar yang munasabah. Ada penerbit membayar royalti tetapi hanya ikut suka mereka kerana tidak ada perjanjian antara penulis dengan penerbit. Lebih malang lagi banyak penulis yang dirompak karya mereka tanpa mendapat sesen pun royalti. Sedangkan penerbit mendapat keuntungan berlipat ganda daripada teks Komsas itu.
Mungkin ada yang berkata, kenapa membiarkan karya diterbitkan kalau tidak ada perjanjian tentang hak cipta? Memang itulah persoalannya. Banyak penulis menjadi mangsa penerbit @ perompak yang mengambil karya tanpa kebenaran. Kerja-kerja kotor dan jijik ini berlalu secara meluas dalam penerbitan buku teks Komsas. Memang bilangan penerbit yang kotor ini hanya segelintir tetapi sudah cukup memberikan gambaran keadaan yang tidak terkawal seterusnya menindas penulis.
Penulis yang dinafikan royalti, atau bahasa mudahnya ambil dengan percuma bukan sahaja berlaku kepada penulis baru, malah cerpen seorang Sasterawan Negara turut menjadi mangsa rompakan.
Setakat ini dikenalpasti ada tiga penerbit yang mengambil karya tanpa persetujuan, membayar dengan kadar ikut suka dan ada yang langsung tidak membayar royalti. Penerbit-penerbit ini bebas melakukan jenayah ini tanpa sebarang kekangan. Penulis tidak mendapat imbuhan yang selayaknya malah banyak yang dinafikan terus hak cipta karya itu yang hanya lupus selepas 50 tahun penulis meninggal dunia.
Tetapi sebelum ini perkara ini tidak berlaku. Perihal penulis yang dirompak karya mereka sewenang-wenang seharusnya tidak berlaku dalam penerbitan teks Komsas. Sebelum ini semua penulis berpuas hati kerana mereka mendapat royalti yang munasabah dan tidak pernah mempertikaikan keuntungan yang diperoleh penerbit.
Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, salah satu puncanya sekarang ini perjanjian antara Kementerian Pelajaran dengan penerbit sahaja. Tidak ada perjanjian hak cipta antara penerbit dengan penulis. Pihak kementerian memang membayar kepada penerbit tetapi ada segelintir penerbit tidak membayar royalti kepada penulis.
"Pena mencadangkan sistem pemilihan buku teks Komsas diperkemaskan, sementara royalti dibayar terus oleh Kementerian Pelajaran bukan oleh penerbit," tegas Mohamad Saleh.
Pencabulan
Beliau menganggap sikap segelintir penerbit yang merompak karya penulis untuk mendapat keuntungan berganda sebagai amat buruk dan tidak seharusnya dibiarkan berleluasa. Ini adalah pencabulan ke atas hak cipta secara terang-terangan tetapi malangnya tidak ada pihak yang mengambil tindakan.
Menurut Mohamad Saleh, penulis tidak boleh disalahkan apabila tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas penerbit yang merompak karya mereka. Ini kerana, tindakan undang-undang lebih-lebih lagi oleh orang perseorangan bukanlah jalan keluar yang tepat.
"Saya fikir kalau royalti dibayar terus kepada penulis, perkara ini tidak berlaku," tegas Mohamad Saleh.
Difahamkan yang melakukan kerja-kerja kotor ini adalah penerbit yang muncul secara tiba-tiba. Mereka tidak ada nama dalam dunia penerbitan buku malah tidak ada rekod pencapaian yang cemerlang. Syarikat penerbitan yang mempunyai wibawa tidak melakukan kerja begini.
Mohamad Saleh mencadangkan, untuk mengelak penindasan kepada penulis berterusan, pihak Kementerian Pelajaran perlu meminta penerbit mengemukakan perjanjian dengan penulis untuk membuktikan karya itu tidak dirompak dan kadar royaltinya dipersetujui oleh penulis.
Pencabulan hak cipta menunjukkan kita masih terkurung dalam masyarakat yang kurang bertamadun. Hak cipta karya seni adalah suatu yang sangat asas, di negara-negara maju pelanggaran hak cipta adalah satu perbuatan yang memalukan. Prinsipnya mudah sahaja, siapa yang menggunakan karya seni orang lain untuk tujuan mendapat keuntungan, perlulah membayar royaltinya. Sepatutnya penulis tidak menjadi peminta sedekah menuntut royalti, ini bukan wang ehsan tetapi hak penulis.
Sungguh memalukan apabila masih ada penulis-penulis di Malaysia yang hak cipta mereka dinafikan oleh penerbit dan perkara ini berlaku seolah-olah tidak ada salahnya. Mustahil ada penerbit teks Komsas yang tidak tahu bahawa menggunakan karya orang untuk tujuan keuntungan mesti bayar royalti. Mereka ini bukan penerbit tetapi perompak. Adakah ini menunjukkan hakikatnya hanya penerbit yang terjun dalam lubuk emas tetapi penulis terjun dalam lubuk selut?